Tuesday, May 10, 2011

SuMBer iNTeRNeT


Peringatan kpd Blogger dan pengguna internet sekalian
untuk jaga kehidupan akhirat, bace jgn xbace,. pnjg sket je pon,..
terlajak perahu masih boleh diundur, dah mati xleh nak undur..

"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." [Surah al-Baqarah, 2:255]
PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini, minat terhadap ilmu agama semakin meluas di kalangan orang ramai baik di internet mahupun di luar internet. Di mana-mana sahaja orang mula berbicara tentang ilmu agama. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan menunjukkan bahawa akan datang, Islam akan menjadi gah semula dan tidak lagi diperkotak-katikkan. InsyaAllah yang Maha Tinggi.
Zaman ini, kita adalah perintis kepada kecemerlangan Islam akan datang. Maka perlulah kita memastikan ilmu agama yang dipelajari adalah benar-benar bersih dari kekotoran mereka yang tidak bertanggungjawab, baik dari orang bukan Islam, munafik dan dari orang Islam itu sendiri supaya generasi akan datang lebih berilmu dan hebat semangatnya sesuai dengan fitnah-fitnah yang bakal berlaku akhir zaman.
Internet mempunyai 'sumber ilmu yang tidak terbatas' dan pemantauan terhadapnya adalah hampir mustahil. Jadi seeloknya, perlu ada satu piawaian atau penapisan sebelum kita mengambil sumber-sumber dari internet ini. Malah boleh juga mengggunakan kaedah ini sebelum mengambil apa-apa ilmu agama dari sesiapa dan di mana sahaja.
Maksud 'sumber ilmu yang tidak terbatas' itu adalah; sesiapa sahaja boleh meletakkan atau menulis apa sahaja yang difikirkannya samada benar atau tidak, ataupun ilmiah atau jahil
Itulah tujuan risalah ini dan ia dikhususkan kepada pengambilan sumber agama, iaitu penapisan sesuatu pengajian seperti tafsir al-Quran, hadis, doa-doa, artikel-artikel dan lain-lain yang seumpamanya yang bercanggah dengan syariat Islam itu sendiri.
PERBINCANGAN
Umum mengetahui, sumber syariat Islam adalah dari al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun ijmak, qiyas dan ijtihad digunakan, namun ia tetap bersumber dari al-Quran dan as-Sunnah. Begitu juga sekiranya kita ingin mengambil sumber agama dari internet, ia hendaklah bersumber dari al-Quran dan as-Sunnah. Persoalannya, bagaimana kita hendak mengetahui ia dari sumber yang tulen?
01.Memastikan Sumber Itu Dari Akidah yang Benar
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [al-Hujuraat [49] : 6]
Tidak boleh kita mengambil sumber agama dari orang bukan Islam, kerana musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk mempertikaikan dan mencari-cari kesalahan agama Islam. Cara mengenalinya dengan melihat 'muqaddimah' laman web tersebut.
Pertama : Kami meletakkan (Surah al-Hajj [22]:78) menerangkan keimanan kepada para Nabi dan Rasul dan menyatakan keIslaman. Tetapi ini tidak mencukupi.
Kedua : Kami meletakkan asas ikutan kami adalah Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) dan membenarkan kerasulannya (Surah al-Ahzab [33]: 21).
Ketiga : Meletakkan hadis mutawatir, bahawa barangsiapa yang menipu menggunakan nama Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) diancam ke neraka.
Keempat : Kemudian kami meletakkan pengenalan diri dengan dimulakan puji-pujian hanya kepada Allah yang Maha Agung dan mengakui tiada tuhan selain Allah, kerasulan Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) serta tidak mengingkari para sahabat radiyallahu anh (r.a).
Maka jika anda mahu berdakwah, menulis mengenai Islam atau mengenai sesuatu yang berkaitan dengan agama melalui internet (blog dan sebagainya), hendaklah melengkapi sekurang-kurangnya perkara 'keempat' di atas. Iaitu, lafaz kalimah tauhid yang menerangkan akidah anda. Ini adalah perkara paling utama.
Antara laman web yang tidak dibenarkan mengambil sumbernya kerana bertentangan dengan akidah adalah;
Contoh 1 : Pengajian Sahih Muslim – Dilihat seperti ia menjelaskan mengenai hadis. Sebenarnya apa yang diperjelaskan melalui laman itu ternyata satu usaha menolak dan mempertikaikan sumber kitab hadis yang utama. Penjelasannya hanya berdasarkan kejahilan dan penolakan kepada kebenaran.
Contoh 2 : Jemaah al-Quran – Dilihat muka depan laman web ini seperti ia memperjuangkan agama Islam dan cuba membawa umat Islam kembali kepada al-Quran. Tetapi sayangnya, penafsirannya hanya mengikut logik akal semata-mata dan penuh dengan sangka-sangka.
Telah disepakati oleh para ulama bahawa hadis di dalam sahih Bukhari telah lengkap segala sanadnya dan diiktiraf kesahihannya secara ilmiah, bukan sangka-sangka. Begitu pula kitab-kitab hadis sahih yang ada sekarang telah lengkap pentahkikan dan pentakhrijannya.
Maka sesiapa yang menolak hadis sahih, sama seperti menolak para sahabat r.a. Menolak para sahabat sama seperti menolak Rasulullah s.a.w.. Menolak Rasulullah s.a.w. sama seperti menolak al-Quran. Menolak al-Quran sama seperti mengingkari Allah yang Maha Agung.
Orang-orang seperti ini diancam kekal di dalam neraka, sebagaimana dalam firman-Nya;
"Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan." [Surah An-Nisaa' [4] : 14]
Manakala, mereka yang taat pada Allah dan Rasul-nya, iaitu mengikuti apa yang disampaikan melalui al-Quran dan as-Sunnah;
"Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar". [Surah an-Nisaa' [4] : 13]
Ini adalah contoh laman web yang tidak meletakkan prinsip atau pegangannya atau akidahnya yang sebenar dan ternyata di dalamnya penuh kepura-puraan dan sangka-sangka. Ini terkecuali sekiranya laman web itu memang seorang yang dikenali atau mahsyur, seperti laman web Ustaz Kazim Elias, Ustaz Azhar Idrus, Dr. Mohd Asri (Dr. Maza) dan lain-lainnya.
Namun kami berharap, langkah ini diikuti oleh semua pendakwah internet bagi membezakan antara satu sama lain (yang benar dan bathil) dan sebagai langkah berjaga-jaga serta pengambilan dari sumber yang salah dapat dikurangkan.
PERHATIAN : Ini bukanlah pendapat saya sewenang-wenangnya, sila lihat tafsir al-Quran, kitab-kitab hadis, kitab-kitab ulama dahulu dan sekarang. Sila baca 'muqaddimah' mereka. Semuanya bermula dengan ikrar tauhid selepas puji-pujian kepada Allah yang Maha Agung.
Malah al-Quran sendiri dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang seterusnya penafian kepada kekuasaan lain kecuali, hanya Allah yang Maha Memelihara dan Mentadbir seluruh alam semesta. (Rujuk Surah al-Fatihah [1] : 1-2).
02.Mengelakkan Mengambil Sumber Tanpa Rujukan
"Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar." [Surah An-Nuur [24] : 11]
a) Al-Quran
Setiap ayat Al-Quran hendaklah diletakkan nama surah, nombor surah dan ayat, supaya mudah untuk diperiksa kembali. Tidak boleh, hanya menulis ;
'Allah berfirman bahawa lelaki dan wanita mencuri hendaklah dipotong tangannya'.
Kesalahannya adalah tidak meletakkan rujukan surah tersebut. Sekiranya tidak diletakkan rujukan surah, boleh mendatangkan kekeliruan samada ia dari al-Quran atau hadis qudsi. Contoh hadis qudsi;
'...Allah Ta'ala berfirman, Aku membahagikan solat itu antara-Ku dengan hamba-Ku kepada dua bahagian....'
Kedua-duanya ditulis Allah berfirman, tetapi satu dari al-Quran dan satu lagi dari hadis. Ini boleh mengelirukan ramai orang. Jadi laman web yang terdapat tulisan sebegini mesti dielakkan.
b) Hadis
Setiap hadis yang dikeluarkan hendaklah, sekurang-kurangnya menulis status hadis tersebut samada sahih, hasan, daif, palsu dan sebagainya serta di manakah hadis itu diambil beserta periwayatannya. Contoh;
Contoh hadis 1 : Apabila kamu telah melihat bendera-bendera hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia kerana sesungguhnya di sana ada Khalifah Allah Al-Mahdi.
(MAUDU' Hadis PALSU, Riwayat Ahmad dan Hakim dari Tsauban) [0648] Al-Jamiush Shaghir [Terjemahannya dalam kitab Koleksi Hadis-Hadis Nabi edaran : Jahabersa Jilid 1 hadis ke 648]
Contoh hadis 2 : Dari Abu Bakar r.a : Rasulullah saw bersabda, "Dajjal akan keluar dari belahan bumi sebelah timur yang disebut Khurasan. Dia diikuti oleh beberapa kaum. Wajah mereka terlihat seolah seperti perisai yang menutupi." [2237] Sahih. At-Tirmidzi dan Sahih Ibnu Majah.
Sekiranya hanya ditulis, 'Nabi s.a.w. bersabda bahawa sabar itu separuh dari iman', tanpa meletakkan seperti contoh di atas, maka haram baginya mengambil, menggunakannya dan menyebarkannya. Malah perkataan 'sabar separuh dari iman' itu juga tidak diketahui asalnya, yang sahih adalah;
Di dalam Sahih Bukhari hadis bernombor 19 : Dari Salim bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya malu itu separuh dari iman."
c) Artikel atau Tulisan lainnya
c.1. Tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Contoh; lihat artikel ini (RakanMasjid.com/ Sayyidah / Scribd). Di antaranya si penulis berkata,
'Hingga pada suatu malam, dia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan, "Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?" Dalam mimpinya dia merasa seolah-olah mendengar jawapannya...'
Perkataan ini benar-benar bertentangan dengan akidah seperti firman-Nya;
"Dan tidak mungkin bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana." [Surah Asy-Syuura [42] : 51]
Perkara itu hanya khusus kepada para Nabi dan Rasul sahaja, dan adalah mustahil sama sekali dan tidak mungkin mana-mana manusia (selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.) mengatakan bermimpi mendengar Tuhan berkata-kata dengannya kecuali orang-orang yang sesat dan terencat akalnya (Sila lihat Artikel - Tipu Daya Iblis Zaman Ini). Maka sumber seperti ini dilarang menyebarkannya.
c.2) Membuat notakaki atau penjelasan mengenai sesuatu tulisan atau menjelaskan sumbernya.
Contoh 1 : Hirabah atau pemberontakan adalah sekumpulan orang yang bersenjata di negara Islam keluar untuk mengadakan kekacauan, rusuhan, pertumpahan darah, merosakkan tanaman.... (Bersumber dari Fiqh Sunnah Jilid 5 halaman 167).
Contoh 2 : Artikel Tujuan Menuntut Ilmu - Menegakkan agama Islam bermaksud..... Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.(Rujukan : Krisis Dalam Pendidikan Islam - Dr. S.S Husain dan Dr.
S.A Ashraf )
Notakaki adalah sangat penting kerana ia merupakan sumber rujukan mengenai apa yang diperkatakan. Ia juga boleh digunakan sebagai dalil dan pemahaman kepada maksud-maksud tertentu. Sumber tulisan seperti ini (yang tiada sumber rujukannya) tidak layak dijadikan hujah, hanya sekadar bacaan santai.
03.Menghindari Laman Web yang Menghina Ulama
Berikut adalah firman Allah yang Maha Agung mengenai pembersihan nama Ummul Mukminin 'Aisyah r.ha. Namun, ini juga merupakan pengajaran kepada para mukminin dan mukminat supaya bersangka baik. (Rujuk tafsir Ibn Katsir halaman 270 juz 16-19)
"Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata" (kerana tidak mendatangkan bukti)." [Surah An-Nuur [12] : 24]
"(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut mu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar." [Surah An-Nuur [24] : 15]
Banyak laman web yang menghina para ulama baik dari ulama salaf, khalaf dan ulama masakini. Amat mendukacitakan kerana mereka mengkritik tanpa ilmiah dan hanya terikut-ikut rentak orang-orang yang tidak diketahui latarbelakangnya. Saya tidak meletakkan contoh di sini, memadai dengan tajuk di atas.
Sekiranya terdapat laman web yang menghina para sahabat r.a, dan para ulama lainnya seharusnya dielakkan dan jangan mengambil apa-apa sumber yang terdapat dalam laman web tersebut, kerana mereka tidak lain hanya mengikut nafsu semata dan taksub malah mengkafirkan orang yang tidak sealiran dengan mereka.
Termasuk dalam kategori ini adalah laman web yang mengandungi unsur-unsur fitnah kepada para ulama, pemimpin atau mana-mana individu. Larangan ini jelas di dalam al-Quran dan hadis;
" ......kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar." [Surah An-Nuur [24] : 15]
Hadis : Dari Hudzaifah r.a : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak dapat masuk syurga, orang-orang yang menyiar-nyiarkan berita untuk mengacau (merusuh)." [0082] Sahih Muslim
"Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa, Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya (tidak diketahui latarbelakangnya)." [Surah Al-Qalam [68] : 10-13]
PENUTUP
Tidaklah risalah ini bertujuan menghina mana-mana usaha dakwah dari laman-laman web yang ada, ia sekadar salah satu cara untuk mengelakkan dari mengikut secara membuta-tuli apa yang ditulis oleh orang-orang yang sengaja memperlekehkan Islam ataupun orang yang tidak sengaja (kerana jahil).
"Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati." [Surah Faathir [35] : 38]
Moga risalah ini dapat dipanjangkan kepada para sahabat-sahabat yang lain dan semoga Allah yang Maha Agung menghindarkan kita dari ilmu yang tidak bermanfaat.
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." [Surah Ali 'Imran [3] : 104]
Rujukan :
Al-Quran dan terjemahan, Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Abbas
Kitab Hadis-Hadis Sahih dan Al-Jamiush Shaghir
Manahij Al-Muhaddithin [Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosni Wazir]
The History Of Quranic Text [Prof. M.M Al-A'zami]
Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah – Cetakan kedua 1996 [Dr. Yusuf al-Qaradawi]

No comments:

Post a Comment

haaaaaaaaah,. komen la ape lg

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...